Tenaga Kerja Malaysia Imbangi Cita-cita, Jangkaan Kenaikan Gaji dan Keutamaan CSR – Dapatan Kajian Reeracoen x Rakuten Insight 2025
NewsOctober 30, 2025 10:00

KUALA LUMPUR, Malaysia, 15 Oktober 2025 / -- Golongan profesional Malaysia menghantar mesej yang jelas kepada majikan: Cita-cita tanpa arah tidak mencukupi, begitu juga tujuan tanpa kemajuan.
Reeracoen x Rakuten Insight APAC Workforce Whitepaper 2025 (Kertas Putih Tenaga Kerja APAC Reeracoen x Rakuten Insight 2025) yang baharu diterbitkan menyoal selidik lebih 12,000 ahli profesional daripada 12 pasaran Asia-Pasifik dan mendapati tenaga kerja Malaysia menonjol dengan ketara. Hampir 40% pekerja Malaysia beraspirasi untuk memegang jawatan kepimpinan (melebihi purata APAC iaitu 37%). Pada masa yang sama, dua daripada tiga mengatakan pendirian sesebuah syarikat terhadap kemampanan dan tanggungjawab sosial mempengaruhi sama ada mereka akan menerima suatu pekerjaan.
Keadaan juga semakin mendesak dalam hal-hal lain. Lebih daripada satu dalam empat pekerja Malaysia (28%) kini menjangkakan kenaikan gaji dua angka, berbanding hanya 21% di peringkat serantau. Ia merupakan suatu permintaan yang berani, namun data menunjukkan bahawa ia turut memerlukan komitmen yang sama berani: Malaysia ialah salah satu daripada sebahagian kecil pasaran APAC yang mana latihan tajaan syarikat jauh mengatasi inisiatif pekerja sendiri.
"Bakat Malaysia ialah bakat yang berkebolehan, bijak dan sedia berkembang. Cita-cita yang dinyatakan di sini bersifat kukuh, namun begitu juga dengan permintaan terhadap nilai, kepercayaan dan kepimpinan yang memperkasakan," kata Yohei Yagi, Pengurus Negara, Reeracoen Malaysia. "Majikan yang menggabungkan struktur dengan khidmat dan strategi dengan empati, akan dapat menyerlahkan potensi penuh tenaga kerja Malaysia."

Yohei Yagi, Pengurus Negara Reeracoen Malaysia
Paradox Bakat Yang Harus Diselesaikan oleh Majikan
Malaysia memantapkan kedudukannya secara agresif sebagai hab untuk inovasi digital, pembuatan termaju dan pertumbuhan hijau melalui inisiatif-inisiatif seperti MyDIGITAL, Industry4WRD dan Rancangan Malaysia Kedua Belas. Pelaburan asing turut mengalir masuk ke dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan juga infrastruktur teknologi.
Namun demikian, terdapat jurang yang wujud antara cita-cita dasar dan realiti di tempat kerja. Meskipun 71% ahli profesional Malaysia mengatakan susunan kerja yang fleksibel penting buat mereka, capaian masih kekal tidak konsisten merentas industri-industri. Sungguhpun demikian, walaupun pekerja menginginkan kepimpinan berempati dan memperkasakan – 58% menganggapnya amat penting demi kepuasan kerja – banyak organisasi masih mengamalkan gaya pengurusan atas ke bawah yang menyekat cita-cita yang dikatakan ingin dicapai.
Kertas putih ini mengemukakan lima kekuatan yang membentuk semula landskap bakat Malaysia:
-
Keinginan Tinggi terhadap Kepimpinan: 39% daripada ahli profesional beraspirasi untuk memegang jawatan kepimpinan yang menandakan tenaga kerja yang bersedia untuk maju, sekiranya peluang dan sokongan pembangunan diberikan.
-
Nilai-nilai sebagai Hal Tidak Boleh Dirunding: 67% mempertimbangkan kemampanan dan tanggungjawab korporat apabila memilih majikan.
-
Empati sebagai satu Strategi: 58% mengaitkan kepimpinan berempati sebagai aspek yang penting terhadap kepuasan kerja, menjadikan budayanya sebagai penentu yang sama penting seperti pampasan dalam pengekalan pekerja.
-
Jurang Fleksibiliti: Kerja hibrid dihargai oleh 71% pekerja, namun pelaksanaan yang tidak sekata merentas sektor-sektor menimbulkan kekecewaan dan risiko pusing ganti.
-
Peningkatan Kemahiran secara Proaktif: Tidak seperti kebanyakan pasaran yang mana pekerja bersifat proaktif dalam hal pembelajaran mereka sendiri, pekerja Malaysia lebih cenderung untuk terlibat dalam program latihan tajaan syarikat – satu kelebihan yang kompetitif sekiranya dimanfaatkan sebaiknya.



